Thursday, August 4, 2011

Risalah Mursyid: Ramadan Bulan Kebangkitan dan Pembinaan



Perutusan dari Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin 28/7/2011

Pujian bagi Allah dengan pujian sebanyak-banyaknya, dengan penuh kebaikan dan keberkatan. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasulullah saw .. Selepas..

Alangkah gembiranya kita menerima ‘hadiah’ bulan Ramadan.

Kita berbahagia menanti ketibaannya; kerana di dalamnya mengandungi hadiah rabbani, rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka. dan di dalamnya mengandungi pengajaran yang besar. Ramadan adalah sebuah ‘madrasah’ untuk pengajaran, pembelajaran dan pendidikan dengan seluruh pengertiannya di mana seorang Muslim dididik dengan pelbagai ibadat dan akhlak yang tinggi dan luhur, membersihkan diri sendiri dari sikap dan akhlak tercela, dan membebaskan kemahuannya dari semua kuasa atau ikatan yang membelenggu, meninggikan cita-cita dan mengasuh kelakuannya.

..Firman Allah SWT (bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(Al-Baqarah: 183),

Justeru, bertakwa kepada Allah dan bermuraqabah kepada-Nya di waktu terang atau tersembunyi adalah ketetapan dan tujuan paling utama bulan Ramadan yang mulia.

 Kelebihan Ramadan


Di antara kebijaksanaan Allah SWT ialah menetapkan sesuatu kelebihan masa dan tempat antara makhluk-Nya, di mana Allah melebihkan sesuatu tempat ke atas tempat yang lain dan melebihkan sesuatu masa ke atas masa yang lain. Dari aspek masa; Allah telah melebihkan bulan Ramadan ke atas bulan-bulan yang lain, dan mengurniakan pelbagai kelebihan yang besar dan kemuliaan yang begitu ketara.

Ramadan adalah bulan yang Allah turunkan al-Quran.

Firman Allah SWT(bermaksud):

bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah (Al-Baqarah:185).

Ramadan adalah bulan yang Allah perintahkan berpuasa.

Firman Allah SWT (bermaksud):

 “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(Al-Baqarah: 183),

“Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.” (Al-Baqarah: 185).

Ramadan adalah bulan taubat dan pengampunan, serta pembersihan dosa dan kejahatan.

Sabda Rasulullah saw (bermaksud): 

Solat lima waktu (sehari semalam) dan jumaat hingga jumaat, dan Ramadan hingga ke Ramadan merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar.” (Muslim),

Rasulullah bersabda (bermaksud):

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, dosa-dosa terdahulu akan diampuni." (Bukhari)

Ramadan adalah bulan pembebasan dari api neraka.

Dalam hadith Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda (bermaksud): 

"Dan berseru para Malaikat: “Wahai pencinta kebaikan, terimalah (sambutlah). Wahai pencinta kejahatan, berhentilah, dan Allah membebaskan dari api neraka, dan ini berlaku setiap malam" (HR. al-Tirmidhi).

Ramadan adalah bulan yang mana dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Rasulullah saw bersabda (bermaksud):

"Apabila datang bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu" , (HR. Bukhari)

Iaitu syaitan dalam keadaan digari dan dirantai. Maka pada bulan Ramadan syaitan tidak dapat berhubung dengan manusia seperti apa yang mereka lakukan pada bulan yang lain.

Ramadan adalah bulan yang terdapat di dalamnya malam Lailatul Qadr, yang mana Allah telah menjadikan amalan-amalan pada malam itu lebih baik daripada seribu bulan.

Firman Allah SWT (bermaksud):

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr: 3)

Sabda Rasulullah saw (bermaksud):

"Sesungguhnya bulan yang mulia ini telah datang menemui kamu, dan di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. sesiapa yang tidak diberikan kebaikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebaikan dan tidak diberikan kebaikan melainkan orang yang diharamkan kebaikan untuknya " .

Ramadan adalah bulan kesabaran; Bukti kesabaran dapat dilihat dalam bentuk yang lebih jelas semasa berpuasa, kerana seseorang muslim perlu menahan diri dari menuruti keinginan dan nalurinya. Oleh sebab itu, puasa adalah separuh dari kesabaran, dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Firman Allah SWT (bermaksud):

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".  (Az-Zumar: 10) .

Ramadan adalah bulan kemurahan hati dan kebajikan, kerana Rasulullah saw ialah seorang yang paling dermawan pada bulan Ramadhan.

Ramadan adalah bulan berdoa.

Rasulullah saw bersabda (bermaksud):

“Ada tiga orang yang tidak ditolak do’a mereka: Orang yang berpuasa sampai dia berbuka; Seorang penguasa yang adil; Dan do’a orang yang dizalimi (teraniaya).” (HR. Tirmidhi)

Firman Allah SWT selepas ayat-ayat puasa (bermaksud):

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. (Al-Baqarah: 186).

Ramadan adalah satu bulan yang menyatukan umat Islam. Kaum muslimin semuanya menjadi seperti saudara dalam satu keluarga, berbuka puasa pada satu masa, dan imsak pada satu masa, dan menunaikan solat di belakang imam yang satu. Justeru, marilah kita merasakan pengertian, konsep dan makna yang sebenar ini, dan bergerak dalam kehidupan kita dan bersatu di sebalik matlamat yang lebih tinggi dan tujuan yang lebih besar bagi umat, dan mengenepikan perselisihan antara kita dan menyatukan kata-kata dan usaha kita, supaya kita mendapat kemuliaan dan ketinggian sepertimana orang-orang terdahulu dari kita.

Bulan Al-Quran

Jibril as sentiasa mengajarkan Al-Quran kepada Rasulullah saw pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Al-Quran memberi impak besar kepada pendidikan, perubahan tingkah laku dan memperolehi keredhaan Allah ..

Ini kerana di dalam al-Quran terkandung petunjuk: 

“Menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.  (Al-Baqarah: 185),

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.  (Al-Isra: 9).

Di dalam al-Quran terkandung pelajaran terbesar, pengajaran terindah dan kisah-kisah terbaik: 

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (Yusuf: 3).

Di dalam al-Quran mengandungi penawar bagi jiwa:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.  (Younus: 57)

Namun penawar ini tidak memberi manfaat kecuali kepada orang-orang yang beriman seperti firman Allah SWT (bermaksud):

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Isra ': 82),

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman.” (Fusshilat: 44)

Allah telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan. Allah SWT berfirman (bermaksud):

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?  (Al-Qamar: 17).

Semua ini tidak akan memberi apa-apa makna melainkan kita menghalakan kepada al-Quran, membukanya pada bulan yang mulia ini, membaca, merenung, menghayati ayat-ayat dan berinteraksi dengannya, menghidupkan makna-maknanya dan melaksanakannya  kepada diri kita sendiri, supaya kita menerima ganjaran dan kemuliaan Al-Quran, bulan Ramadan, dan supaya kita mengubah dari diri sendiri dan memperolehi keredhaan Tuhan kita.

Begitu juga membina kebangkitan bermula dengan membina manusia. Untuk membina manusia hanya akan tercapai dengan  mengadunkan nilai-nilai yang luhur dan akhlak yang mulia adalah suatu yang tidak dapat dinafikan. Satu-satunya sumber yang tulen, yang boleh dipegang, yang dipercayai dan bukan di atas kemampuan manusia adalah wahyu dari langit yang tidak akan bercampur dengan perkara kebatilan sama ada dari depan atau belakang:

“Celupan Allah; dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".  (Al-Baqarah: 138).

Bulan kemahuan dan pembinaan

Di samping tiupan angin bulan yang penuh kesucian, kini muncul di ufuk kita cahaya kebebasan dan sinar harapan, yang tersebar kenikmatannya; untuk mengubah semua kezaliman melalui kemahuan yang kuat, mengubah ketidakadilan dan korupsi melalui keyakinan yang tinggi dan menumbuhkan dalam diri kita semangat pembinaan. Semua ini tidak akan berlaku melainkan dengan kemahuan yang tulus dan keazaman yang teguh, yang dididik di dalam jiwa oleh Ramadan.

Pendidikan tertegak di atas asas kemenangan dalam menentang nafsu dan syaitan. Kedua-dua unsur ini diperkukuhkan oleh Ramadan di dalam roh untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah. Di antara keinginan yang paling penting yang mesti kita hadapi ialah keinginan penguasa yang kita maksudkan ketika ini. Kita dapati bahawa setengah pemimpin melakukan kekerasan terhadap rakyatnya dan memusnahkan keupayaan negaranya bagi memenuhi ‘keinginan haram’ dan mengekalkan kuasa yang dirampas dari rakyat.

Ramadan selepas revolusi Arab yang diberkati mempunyai rasa sesuatu yang istimewa dan semangat yang unik. Kita berdoa kepada Allah supaya mengekalkan revolusi kita, dan memberkati kita dengannya. Di bulan Ramadan kita menghirup aroma kebebasan yang telah dinafikan kepada kita selama beberapa dekad. Kita telah dinafikan walaupun hak untuk beribadah dengan bebas, dan kita dinafikan hak untuk menikmati tujuan berpuasa, seperti yang kita harap dan kita mahu. Ini disebabkan terdapat pelbagai sekatan ke atas solat, perhubungan, berbuka dan pergerakan, dan kesemua sekatan ini telah dipecahkan oleh Allah dan dipecahkan oleh pemiliknya, dan menjadikan mereka tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Di antara makna terbesar berpuasa dan tujuannya ialah pembebasan kemahuan dalam seluruh pengertiannya; supaya seseorang individu menanggalkan apa jua tarikan dunia untuk mengangkat dan meninggikannya sehingga ia menjadi seorang hamba rabbani, meninggikan jiwanya, meninggikan penciptaannya, dan meninggikan perbuatan dan tindakannya. Oleh itu, jika manusia berjaya mengatasi semua keinginan dan keseronokan dan tidak ada jalan untuk nafsu menguasai dirinya dan tidak ada keputusan dan pengaruh nafsu kepadanya, maka dengan itu ia telah berjaya menanggalkan dalam dirinya segala halangan kepada kemajuan.

Apabila kemahuan individu itu telah merdeka, maka kemahuan umat seluruhnya turut merdeka dan bebas, bangkit dan maju. Inilah yang kita lihat di hadapan kita sekarang tentang kebebasan bangsa kita daripada semua kuasa luar atau kezaliman dalaman, dan tiada pihak yang berkuasa melainkan atas kehendak rakyat, nilai-nilai dan etika. Semua ini adalah natijah semula jadi seperti yang kita pelajari dari erti kesabaran dalam berpuasa, menanggung lapar dan dahaga, dan menahan dari perkara yang diharuskan apatah lagi yang diharamkan.

Jelaslah, seluruh umat kini amat perlu untuk menghayati nilai-nilai dan tujuan bulan Ramadan yang mulia, dan menghayati ciri-ciri dan keistimewaannya; untuk menghadapi pelbagai cabaran, dan membebaskan diri daripada kemunduran, kelemahan dan kehinaan. Ini kerana puasa menanamkan dalam diri kita ketinggian, kemuliaan dan kehormatan. Tidak mungkin sama sekali umat yang beribadat kepada Allah dengan berpuasa akan merendahkan atau menghina yang disembah sesiapapun jua, atau akan tertakluk kemahuannya kepada keputusan orang lain. Ini kerana di dalam kesabaran menanggung lapar, dahaga dan meninggalkan yang harus, bagi kita adalah untuk melatih kebebasan kemahuan kita dan menguatkan kemahuan kita, dan tidak tunduk kepada sesuatu selain daripada Allah SWT.

Justeru, ke atas umat seluruhnya sama ada sebagai sebuah bangsa, kerajaan dan badan-badan hendaklah melaksanakan erti puasa dan nilai-nilainya, dan menggunakannya di jalan menuju kemajuan, dan perlu meletakkan semua ini ke dalam perlaksanaan. Kita hendaklah menghayati dalam tingkah laku yang jelas dan dapat dilihat dengan mata; untuk pembangunan umat kita dan bangsa kita, dan memberi contoh kepada seluruh dunia suatu perlaksanaan amali bagi nilai-nilai dan akhlak Islam. Dalam hal ini, menerima keredhaan Allah SWT, kebangkitan umat dan mengembalikan kedudukan dan peranannya serta melayakkannya untuk memperolehi pertolongan Allah.

Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad saw, keluarganya dan para sahabatnya
Dan Allah Maha Besar dan pujian hanya bagi Tuhan

Kaherah: 27 Sya’ban 1432, 28 Jul 2011

 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template