Sunday, June 19, 2011

Risalah Mursyid: Memperingati Perang Enam Hari 5 Jun 1967


Risalah daripada Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin

9 Jun 2011

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam kebenaran hingga ke hari kiamat .. Adapun  selepasnya;


5 Jun 2011 genap 44 tahun Nakbah (bencana) yang terjadi pada 5 Jun 1967. Nakbah merupakan satu tragedi yang telah mengubah landskap kehidupan bangsa Arab. Suatu  bencana besar yang membingungkan, satu malapetaka yang sukar dipercayai boleh terjadi. Mereka yang memainkan peranan dalam mencetuskan Nakbah cuba membalikkan fakta dengan mengatakan Nakbah itu sebagai suatu langkah (taktikal) undur ke belakang, suatu kerugian bagi sebuah pertempuran sahaja, bukan kerugian dalam peperangan secara keseluruhan, dan bermacam-macam alasan untuk mengaburi mata kita tentang bencana Nakbah. 

Namun semua alasan itu langsung tidak masuk akal dan tidak boleh diterima di bumi Arab. Sesungguhnya ia adalah suatu peperangan yang cukup hina dan memalukan, peperangan yang telah meruntuhkan maruah bangsa Arab generasi demi generasi, dalam bentuk yang amat sukar dipadamkan dari lembaran sejarah

Tapi  kesan  yang lebih menyakitkan daripada kekalahan ini ialah timbulnya ‘jaguh’ kekalahan dari kalangan ahli politik, wartawan, penipu dan munafik dengan mengatakan ianya adalah kemenangan dan bukan kekalahan, kerana tujuan pencerobohan "Israel" adalah penghapusan pertubuhan-pertubuhan revolusioner progresif Arab, di mana ia gagal melakukannya dan pertubuhan itu tetap kekal. Oleh itu apa yang terjadi pada 5 Jun adalah satu kemenangan, bukan kekalahan. Bukankah kenyataan ini merupakan  suatu penipuan dan kemunafikan?.


Di sana terdapat beberapa faktor kukuh yang menjadi punca terjadinya Nakbah, faktor yang hampir sama dengan setiap bencana yang berlaku di manapun jua. Kezaliman, kediktatoran, kuku besi, autokrasi, tiada jaminan kebebasan dan penghinan terhadap kemanusiaan insan, itulah yang menjadi punca kepada setiap kerosakan, kemunduran, bencana dan malapetaka sesuatu bangsa dan sesebuah Negara. Semua situasi yang disebutkan di atas atau sebahagiannya menyebabkan perasaan takut, bermuka-muka, sikap negatif tumbuh subur di kalangan rakyat, dan bilangan mereka adalah ramai. Mereka mencari kesempatan mengampu dan bermuka-muka dengan pelbagai cara di mana ada peluang demi kepentingan diri sendiri.

Para diktator tidak berfikir melainkan untuk mempertahankan kuasa mereka dan terus memerintah rakyat selamanya - kalau boleh – sekalipun terpaksa membawa kepada pertumpahan darah, menghilangkan kehormatan dan hartabenda. Segala kepincangan, ketidakadilan dan kesalahan tidak akan terdedah melainkan selepas negara dalam cengkaman penjajahan, atau kerosakan dan kerugian dengan cara yang lain daripada penjajahan.

Ketika rampasan kuasa pada Julai 1952 telah diangkat slogan-slogan kebebasan, demokrasi dan keadilan, kemudian tercetus usaha menghancurkan kebebasan dan pembunuhan demokrasi. Manakala keadilan dihumban ke dalam lipatan sejarah.

Justeru, dengan nama revolusi, Mesir diperintah oleh individu, hak rakyat dalam semua aspek; keselamatan diri, kehormatan, maruah hatta nyawa diperkotak-katikkan.  Dan jadilah negara berada di bawah cengkaman pegawai perisik yang menghancurkan kepercayaan manusia dengan saudara, ibu dan ayah, dan mendatangkan malapetaka di bumi dan menumbuhkan bermacam korupsi. Kita pernah mendengar ungkapan: "Angkat kepala anda wahai saudaraku kerana telah berlalu zaman kezaliman" dikumandang, namun ketika beberapa orang telah mengangkat kepala mereka kerana menyangka ia diungkapkan dengan niat  yang baik, tiba-tiba kepala mereka terguling dan mulut-mulut terjerut. Mesir berubah menjadi sebuah penjara besar.

Ikhwan Muslimin ketika pertama kali diuji oleh api penindasan dan kezaliman, mereka telah di penjara dan dimasukkan ke dalam pusat-pusat tahanan, dan mereka terdedah kepada penyiksaan dan layanan buruk, namun Allah tetap bertindak membalas orang yang zalim.

Justeru, selepas semua layanan buruk dan penyiksaan terhadap Ikhwan, maka hukuman Ilahi sangat menyeluruh dan umum.  Selepas Ikhwan ditangkap beramai-ramai pada tahun 54, Mesir menerima kekalahan pada tahun 56. Dan selepas Ikhwan ditangkap sekali lagi pada tahun 65, Mesir menerima padah kekalahan teruk pada tahun 67. Pada zaman Mubarak, Ikhwan terus berhadapan dengan penangkapan, penjara, penghakiman di mahakamah tentera dan pelbagai kezaliman. Maka akibatnya rejim Mubarak tersungkur dari akar umbinya selepas revolusi yang diberkati pada 25 Januari 2011.

 Justeru, dengan kehendak dan izin Allah telah mengembalikan Ikhwan dan melancarkan ibupejabat baru mereka di atas Jabal Mokattam yang merupakan puncak tertinggi yang menjadi tempat pengkebumiaan para syuahada’ yang meninggal dunia di penjara tentera.

Namun Allah menolak usaha jahat rejim dengan mengangkat tempat mereka di tempat yang sama, Allah swt berfirman (bermaksud): 

“Bukankah kami Telah membinasakan orang-orang yang dahulu? Lalu kami iringkan (azab kami terhadap) mereka dengan (mengazab) orang-orang yang datang kemudian. Demikianlah kami berbuat terhadap orang-orang yang berdosa”. (Al-Mursalat: 16-18)

Inilah fajar yang tetap menyingsing jua.. dan tercetus dari kebangkitan bangsa-bangsa Arab di Tunisia, Mesir, Libya, Yemen, Syria dan ...... Inilah masa kehancuran korupsi dan kezaliman ketika berdepan dengan gelombang rakyat yang inginkan kebebasan dan keadilan. Inilah pewaris-pewaris Fir’aun dan para diktator  yang jatuh seperti boneka di hadapan gelombang rakyat  yang bangun dari tidur di siang hari.

 Inilah kita lihat hasil daripada revolusi Mesir yang diberkati, kita dapati puak-puak di Palestin telah berdamai, saf kembali bersatu setelah penyatuannya dihalang oleh penguasa yang zalim. Dan sempadan Rafah telah dibuka dengan sempurna untuk saudara-saudara kita di Palestin.

Sesungguhnya dasar baru kini dibina atas kepentingan negara dan rakyat, bukan sebaliknya.  Amerika, "Israel" dan lain-lain Negara tidak boleh menentukan atau mengendalikan keputusan kami selepas hari ini.

Kemenangan akan datang dengan izin Allah, tidak mustahil dan tiada keraguan tentangnya. Kembalinya Palestin, Baitul Maqdis, Bukit Golan dan semua wilayah yang diduduki Israel bukan satu khayalan lagi tetapi suatu  saat yang sangat hampir selepas rakyat sedar dan tahu jalannya.

Sesungguhnya telah berakhir zaman keangkuhan “Israel” dan timbul keraguan di pihak “Israel” tentang kelangsungan dan jangka hayat mereka. Bulan Rejab sekarang merupakan era revolusi yang membawa bersamanaya berita gembira surah Al-Isra’. Berakhirnya zaman kekalahan dengan berakhir  zaman kezaliman dan penindasan, zaman para diktator dan pemimpin zalim dan rakyat pula mengambil alih teraju kuasa. Tidak akan kembali semula kepada kekalahan selepas hari ini kerana kemenangan pasti akan datang  dengan izin Allah.

Firman Allah swt (bermaksud):

“berkata: "Bilakah itu (akan terjadi)?" Katakanlah: "Mudah-mudahan waktu berbangkit itu dekat", (Al-Isra’: 51)

“Allah Telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang". Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al-Mujadalah: 21)


 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template