Thursday, April 8, 2010

Risalah Mursyid: Harapan Setelah Allah Terletak Pada Rakyat dan Umat





Risalah dari Dr. Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwanul Muslimin, 25-03-2010

Segala puji hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan orang yang mengikutinya .

Rakyat merupakan modal insan sebuah umat ..

Rakyat merupakan asas bangunan suatu umat dan asal seruan suatu umat. Rakyat juga merupakan perajurit setia dalam gerabak kebangkitan dan pembangunan. Apa yang kita saksikan hari ini dari pelbagai gerakan dan kebangkitan rakyat adalah bukti nyata bahawa rakyat akan terus menjadi sumber yang hakiki dan bekalan yang sejati kepada setiap kemajuan dan pembangunan sesuatu umat.

Memang terdapat usaha untuk melenyapkan identiti rakyat, menghentikan peranan mereka dan menahan keinginannya semasa penguasaan kuasa asing begitu kuat terhadap potensinya dan memisahkan kerajaan daripada menyokong mereka melalui agenda Amerika-Zionis sehingga kewibawaan kerajaan telah hilang. Namun usaha mereka telah menemui kegagalan kerana rakyat merupakan asas kepada kerajaan mencapai kemuliaan dan kebanggaan.

Sungguhpun terdapat penipuan kerajaan terhadap kehendak rakyat, sekatan kebebasannya dan menghalang potensi dan kekuatan rakyat namun majoriti suara rakyat memilih orang yang merdeka dan mengangkat orang yang mulia di kalangan mereka. Sekarang suasana ini benar-benar kuat di negara-negara kita. Mereka memilih Islam sebagai cara hidup seperti yang terjadi dalam pilihanraya parlimen di Mesir, Turki dan negara Islam lain. Sungguh menggembirakan bila rakyat Palestin telah memilih kemahuan sendiri dan memilih Hamas kerana jelas bahawa Hamas berpegang teguh dengan ajaran Islam dan menerapkannya dalam kehidupan masyarakat dan warganya.

Ini tetap berlaku meskipun terdapat usaha meracuni pemikiran dan menambah kecelaruan secara berterusan terhadap seruan kebenaran dengan menganggapnya sebagai kemunduran dan yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai ketinggalan zaman. Malah mereka menganggap semua usaha penentangan terhadap pendudukan regim Zionis sebagai aktiviti keganasan dan pelampauan, namun kita tetap melihat kemarahan rakyat yang membara dengan mendukung dan membela Al-Aqsa, seperti mereka mengadakan demonstrasi, menyuarakan kecaman dan kutukan serta memboikot barangannya sehingga membimbangkan Zionis dan merasai kekuatan dan keteguhan rakyat serta warganya.

Di samping itu kita lihat semangat rakyat dan umat dalam memberikan sumbangan dalam bentuk harta, wang ringgit dan mengorbankan jiwa untuk membantu saudara mereka sesama muslim dan memberikan pertolongan kepada mereka yang tertindas dan dizalimi di mana-mana dengan berdiri dalam satu barisan.


Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat dan umat mulai sedar secara serius bahawa nilai-nilai, prinsip dan akhlak Islam adalah alternatif yang tepat dari berbagai alternatif lainnya bagi
rakyat yang telah menanggung penderitaan. Hal ini juga menjadikan umat memiliki kesedaran tinggi terhadap pelbagai peristiwa dan prihatin terhadap serangan musuh ke atas umat dan berdiri bersama mereka setelah agama kian lenyap daripada penghayatan umat dan syariat yang telah lama diabaikan.

Perkembangan yang membanggakan lagi adalah rakyat dan umat ketika ini telah memiliki sikap untuk melakukan perhitungan hingga seribu kali perhitungan sebelum melakukan sebarang usaha untuk mengubah kebenaran menjadi kebatilan atau menyebarkan kerosakan. Justeru rakyat dan warga kita telah memulakan langkah ke hadapan dengan menjadikan langkah pertama adalah untuk memulihkan kepercayaan kepada diri dan manhaj yang benar.


Perhatikanlah usaha yang dilakukan oleh AS yang telah mengeluarkan belanja yang besar dalam perang di Iraq dan Afghanistan, namun jelas bahawa harapan setelah Allah adalah terletak pada kedua rakyat ini yang terus melakukan tentangan sengit kepada AS. Menurut laporan yang disampaikan oleh Jabatan Pertahanan AS baru-baru ini bahawa anggaran biaya untuk perang AS di Afghanistan tahun 2010 melebihi biaya tahun pertama pada perang di Iraq (yang dianggarkan setelah 5 tahun perang di Iraq secara rasmi mencapai 600 billion dollar AS, sementara ahli ekonomi menganggarkan perbelanjaannya melebihi dari 4 trillion dollar AS).


Panglima tertinggi di Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) juga mengatakan bahawa dana yang diperlukan sekitar 65 billion dolar untuk Afghanistan lebih dari keperluan perang di Iraq yang mencapai lebih dari 61 billion , sebagaimana yang telah dikeluarkan pada tahun sebelumnya.


Di pihak lain, Kongres Amerika menyetujui rancangan bajet tambahan untuk tahun semasa sebanyak 96 billion dan 700 juta dollar untuk memenuhi keperluan perang di Iraq dan Afghanistan.


Peranan yang diharapkan dari rakyat, bangsa dan umat..


Oleh itu, IM senantiasa mengajak kepada seluruh rakyat dan umat tentang rasa tanggung jawab terhadap amanah yang akan diminta pertanggung-jawaban di hadapan Tuhan mereka, Allah berfirman:

إِنَّا عَرَضْنَا الأَمَانَةَ عَلَى السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولاً
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh” (Al-Ahzab: 72)

Tanggungjawab ini terletak di bahu semua orang tanpa kecuali sesuai dengan kedudukannya dan bergantung pada kemampuan yang dimilikinya.

Justeru perbaharuilah wahai rakyat dan umat Islam di mana saja anda berada untuk senantiasa dalam perasaan wala’ kepada Allah, angkatlah tinggi-tinggi panji Islam, dan dirikanlah negara Islam di hati-hati kalian pasti akan tertegak di bumi kalian. Ketahuilah bahawa jika kalian tidak berusaha menegakkan Islam dalam diri kalian maka akan ada orang lain yang akan mengganti kalian dalam menegakkannya.

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
Dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini”. (Muhammad: 38).

Dari asas ini, saya melihat beberapa kewajiban yang mesti dipikul oleh umat Islam supaya dapat memainkan peranan yang diharapkan dari mereka:


1 – Berterusan melakukan gerak kerja berbentuk pemikiran, sebaran maklumat dan dakwah, menghubungkan semua keinginan rakyat dengan iman dan berhati-hati dari melakukan perbuatan yang melanggar batas larangan Allah supaya dapat mengambil peluang dari sikap positif rakyat dan warga yang telah rela berkorban dan berjuang bersama. Ini adalah langkah pertama bagi memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dan umat kita.

2 – Berterusan menegaskan bahawa titik tolak yang menggerakkan kita sebagai rakyat dan umat adalah agama dan syariat. Dengan demikian akan mendorong emosi menjadi mulia, bermartabat, berdisiplin dan terkawal sesuai dengan syariat Islam.Kita tidak bergerak atas dasar perkauman dan batas geografi. Allah berfirman:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara”. (Al-Hujurat:10)

3 – Berterusan menyuburkan rakyat dan umat dengan maklumat supaya memiliki kesedaran tentang berbagai isu yang berlaku, tidak mendorong mereka untuk bekerja pada perkara yang tiada manfaat sedikitpun atau jauh dari kepentingan hidupnya dan orang lainnya. Oleh kerana itulah mempopularkan usaha pemboikotan terhadap berbagai produk keluaran musuh bangsa Arab dan umat Islam adalah senjata yang berkesan dari rakyat dan warganya.


4 – Setiap rakyat dan umat kita mesti memiliki pemahaman tentang permasalahan yang akan menjadikan dirinya sibuk dalam menyelesaikannya, kerana setiap umat sentiasa memerlukan bantuan dari anak bangsanya sendiri dan idea yang bernas untuk disumbangkan demi kepentingan umat Islam dan mendapat manfaat darinya.

5 – Perasaan bangga atau izzah terhadap Islam, mengenepikan perasaan rendah diri dan melakukan pengislahan diri dan masyarakat. Justeru hal inilah yang menjadi sebab kebangkitan umat, mengembalikan maruah serta kemuliaan kita dan memiliki kesedaran tentang konspirasi jijik musuh serta memulangkan tipu daya konspirasi mereka kepada diri mereka sendiri. Allah berfirman:

إِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’ad:11)

Bertindak segera menghulurkan pertolongan dan pembelaan kepada umat

Bersegeralah mengambil inisiatif dukungan yang logik, bersegera dengan cara tersusun dan berkembang secara positif . Allah berfirman:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
Dan Katakanlah: “Bekerjalah kamu, Maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu”. (At-Taubah:105)

Dan sabda nabi saw
:

قَدْ عَرَفْتَ فَالْزَمْ
Kamu sudah memahaminya maka beriltizamlah (berilah komitmen)

Nanti rakyat dan warganya akan melihat Islam hasil dari usaha mereka dan buah dari amal mereka. Tiba masanya bagi rakyat Mesir untuk menonjolkan sikap bersegera demi mengembalikan peranan pentingnya baik di peringkat negara-negara Arab mahupun dunia Islam.

Marilah kita terus bekerja di jalan yang diredhai Allah dengan semangat yang berkobar-kobar dan membara untuk memberikan dukungan kepada isu yang terjadi di tengah umat dan membela umat Islam. Nabi saw berabda:

مَا مِنِ امْرِئٍ يَخْذُلُ مُسْلِمًا فِي مَوْطَنٍ يُنْتَقَصُ فِيهِ مِنْ عِرْضِهِ وَيُنْتَهَكُ فِيهِ مِنْ حُرْمَتِهِ إِلا خَذَلَهُ اللَّهُ فِي مَوْطِنٍ يُحِبُّ فِيهِ نُصْرَتَهُ
Tidaklah seseorang menghina umat Islam lainnya di suatu tempat yang akan mengurangi kehormatannya dan melanggar kesucian Allah di dalamnya kecuali Allah akan hinakan di tempat yang dia ingin mendapatkan dukungan di dalamnya”. (Abu Daud)

Marilah kita menambah gerak kerja dan tekanan yang keras, kerana keinginan rakyat lebih kuat dari pelbagai konspirasi, tipu daya dan perundingan damai sekalipun. Rakyat atau warga yang merasa dirinya bebas, merdeka dan jujur merupakan simbol umat, kerana ia memberikan gambaran jalan kemuliaan dan kehidupan yang bermartabat. Oleh sebab itu tampak keinginan rakyat yang meluap-luap sehingga menarik perhatian seorang pemerhati politik AS ketika berkata, “untuk menjinakkan orang Arab mestilah menimbulkan perasaan takut dan menghilangkan perasaan berani, berdasarkan bukti tentang sikap kerajaan Arab yang hanya membisu tentang pengebomanan ke atas Afghanistan”.

Justeru kini kita menggantungkan diri setelah Allah hanya pada keyakinan warganya terhadap aqidah mereka, kesedaran terhadap pengetahuan mereka dan keteguhannya dalam mendapatkan hak-haknya dan mengambil kembali kebebasannya. Kita yakin kepada kemampuan rakyat dalam membezakan antara orang-orang yang mulia dan jujur dalam membela dan mempertahankan hak-hak mereka dengan para pengkhianat yang menghiasi dirinya dengan kata-kata indah dan menguasai keinginan rakyat dengan kepalsuan.


Bersegeralah memberikan bantuan untuk menyelamatkan Al-Aqsa. Harapan ketika ini disandarkan pada rakyat atau umat dalam rangka menghentikan kekejaman regim Zionis si perampas dan pencerobohan terhadap tempat-tempat suci umat Islam setelah kita menyaksikan pendirian yang hina, memalukan serta tindakan yang lambat dari kerajaan-kerajaan Arab terhadap penyembelihan yang dilakukan oleh tentera Zionis di Gaza dan percubaan Zionis untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa.

Rakyat Palestin sekarang ini tidak hanya membela tanah suci, kehormatan dan negara mereka sahaja bahkan membela dan mempertahankan martabat dan kehormatan umat Islam dan menjadi benteng pertama dalam pertempuran menghadapi berbagai keganasan Zionis yang terkutuk.


Salam penghormatan buat semua bangsa dan warga di segenap penjuru dunia.

Harapan mereka sedang kembali, mereka telah mengusir para duta besar Zionis, menutup kedutaan besar mereka di beberapa negara, menutup pejabat perwakilan perdagangan mereka dan memboikot produk-produk negara yang ikut serta dalam melakukan penyembelihan setiap hari ke atas umat Islam. Ketika tiba kesempatan dalam pilihanraya yang bebas rakyatnya telah menolak parti pemerintah yang ikut serta dalam jenayah perang di Iraq dan berbohong kepada rakyat dengan membuat berbagai laporan palsu dan menyesatkan sehingga mengakibatkan kepada kehancuran sebuah negara Arab yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan dan ekonomi. Rakyat yang peka menuntut dihentikan rundingan langsung dan tidak langsung dan menamatkan berbagai perjanjian damai yang palsu dan mengirimkan konvoi bantuan melalui laut dan darat.

Dalam menghadapi tuntutan rakyat, kami menyaksikan orang-orang yang bersekongkol dengan musuh berusaha membendung aktiviti pasukan pejuang dan membunuh anggota pasukan pejuang!, Justeru kami tegaskan kembali bahawa harapan setelah Allah ada di tangan rakyat dan umat, untuk menekan kerajaan dan pemimpinnya sehingga mereka menghentikan pengepungan terhadap warga Palestin di Gaza atau memainkan peranannya dalam menamatkan pembunuhan yang jijik seperti di Afghanistan, Iraq, Somalia dan Palestin.


Kami tidak pernah kenal erti putus asa sama sekali ..


Imam Al-Banna menyatakan: “Ayat-ayat Allah SWT, hadits-hadits Rasul-Nya dan sunnatullah dalam mentarbiyah, membina umat dan membangkitkan bangsa setelah hampir mengalami kehancuran, serta apa yang telah dikisahkan tentang kita dalam kitab-Nya .. semua itu menyeru kita untuk memiliki harapan yang besar dan membimbing kita menuju jalan kebangkitan yang benar .”


Oleh kerana itu, umat ini akan merasakan dan menikmati kehidupan yang bebas dan bermartabat, mampu memenangkan kehendaknya demi kepentingannya dan menghadapkan wajahnya kepada Allah SWT dengan benar. Allah berfirman:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (kami tulis dalam) Luh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang saleh”. (Al-Anbiya:105)

Allah juga berfirman:

إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الأَشْهَادُ
Sesungguhnya Kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat)”. (Al-Mu’min:51)

Jelas IM sangat yakin bahawa sunnatullah adalah yang terunggul dan undang-undang Allah adalah yang kekal utuh. Oleh kerana itu janganlah gentar dengan berbagai siri penangkapan atau berbagai hambatan dan rintangan di dalamnya kerana Allah bersama kalian dan tidak akan menyia-nyiakan perbuatan kalian,

لِلَّهِ الأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ* بِنَصْرِ اللَّهِ يَنصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ* وَعْدَ اللَّهِ لا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ
Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). dan di hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. (sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Ar-Ruum:4-6)

Justeru, semua pengorbanan akan terasa kecil ketika kita mempertahankan kebenaran. Oleh kerana itu setelah dipenjarakan As-Syahid al-Banna telah mengungkapkan kata-kata: “Sesungguhnya tempoh penahanan ini merupakan satu paksaan melakukan iktikaf atau satu hentian untuk menempuh perjalanan panjang di mana aku berkesempatan mengulangkaji al-Quran dengan menghafal, menelaah dan mentadabburnya. Aku berpeluang berkenalan dan bergaul dengan orang lain. Aku berpeluang untuk berkhalwat (bersendirian) merenungi jiwaku, menganalisis kembali peristiwa lalu dan aku dapat berfikir dengan tenang dan hati-hati di hari mendatang. Aku yakin bahawa kita tidak akan sekali-kali menanggung kerugian sedikitpun dalam menghadapi segala ketentuan dan takdir Allah. Sesungguhnya siksaan dan tekanan yang terjadi dan menimpa kita merupakan perkara yang telah kita janji setia kerananya, sehingga kita tidak terasa asing di dalamnya. Hal tersebut tidak akan sama sekali memberikan kesan terhadap keyakinan dan janji kita, akan tetapi memberikan kita isyarat dan petunjuk, memberikan peringatan kepada kita tentang berbagai kebaikan dan membuka mata kepala kita tentang hakikat yang akan datang, bahawa apa yang telah kita alami tidak akan mampu menghentikan gerakan dakwah ini, dan tidak akan menggentarkan para generasinya yang tetap yakin dan teguh walaupun terpaksa mengorbankan darah dan harta.”

وَاللهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمْونَ
Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya”. (Yusuf:21)

Segala puji hanya milik Allah

Artikel Asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=62355&SecID=213


 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template