Tuesday, February 9, 2010

Wawancara Mursyid Am Ikhwan Muslimin Dengan BBC di Kaherah


Laporan: Muhammad Said



Sheikh Dr. Mohammed Badee'
Mursyid ke 8 Am IM

* Jamaah kemukakan contoh tersendiri dalam pelaksanaan demokrasi dan pemilihan bersih.
* Golongan Qibti rakan kongsi satu watan, penolakan mereka sebagai calon Presiden Mesir adalah pendirian syarak.
* Kami menuntut pembentukan sebuah jawatankuasa berkecuali pindaan perlembagaan dan pelaksanaan pilihanraya.
* Cakap-cakap tentang penyingkiran Dr. Mahmud Izzat tidak perlu dijawab. Beliau seorang yang warak
* Kabar angin mengenai IM sepakat dengan pemerintah adalah usaha mencacatkan gambaran tentang IM.
* Kami telah membentuk jawatankuasa untuk menambahbaik pelaksanaan kerja, termasuk cadangan untuk pindaan perlembagaan IM
* Isu penglibatan dalam pilihanraya akan datang belum sampai masa, ia nanti akan diputuskan oleh institusi pembuatan keputusan IM.


Yang berbahagia Dr. Muhammad Bai`ie Mursyid Am IM menekankan bahawa IM telah keluar daripada keriuhan pemilihan anggota Maktab Irsyad dalam keadaan yang lebih kuat daripada sebelumnya. Jamaah juga telah berjaya menunjukkan satu contoh tunggal dalam pelaksanaan sistem demokrasi dan pemilihan yang bersih, sekalipun ada pihak menggambarkan ada perebutan jawatan dalam Jamaah.

Dalam satu wawancaranya dengan Amru Abdul Hamid dari BBC yang diadakan di Kaherah, beliau menyatakan: terdapat keperluan-keperluan yang timbul dari peristiwa-peristiwa mutakhir yang perlu dirawat dengan penuh kematangan dan ketenangan. Ikatan asasi dalam Jamaah sejak kemunculannya di awal kurun yang lalu ialah kasih sayang. Di samping itu beliau memberi isyarat ada kecenderungan Jamaah untuk meminda perlembagaannya, supaya ia lebih lengkap dan mampu menambahbaik perjalanan Jamaah pada fasa-fasa akan datang.

Beliau menambah, “Cubaan sesetengah pihak menggambarkan hubungan IM dengan dua ikhwah yang sangat dikasihi Dr. Abdul Mun`im Abu al-Futuh dan Dr. Muhammad Habib telah ke tahap tertutup adalah tidak benar. Malah yang berlaku adalah sebaliknya. Dr. Abu al-Futuh telah menghubungi saya dan mengucapkan tahniah dan berjanji akan menziarahi saya sekembalinya dari luar negara. Tentang Dr. Habib yang saya kasihi dan sanjung, saya telah menziarahi beliau di rumahnya di Kaherah dan Asyut.”

Yang Berbahagia Mursyid juga menyatakan, “ramai kalangan ahli IM mengemukakan banyak cadangan untuk memajukan pelaksanaan kerja-kerja Jamaah. Cadangan ini telah diterima dengan penubuhan jawatan-jawatankuasa untuk penambahbaikan. Semua cadangan-cadangan ini akan dibincangkan dan cara pelaksanaannya akan dikaji. Beliau juga memberi isyarat bahawa kezaliman pihak keamanan terhadap ahli dan kepimpinan Jamaah adalah sebab yang merencatkan usaha-usaha melakukan pindaan ke atas undang-undang Jamaah, seperti yang berlaku pada tahun 1995 sewaktu masyuarat Majlis Syura Am, sebahagian besar qiadah jamaah telah ditangkap dan dihukum penjara bertahun-tahun.”

Dr. Mahmud Izzat


Yang Berbahagia Mursyid menekankan bahawa keputusan melantik Dr. Mahmud Husin sebagai Setia Usaha Jamaah adalah keputusan syura untuk suntikan semangat baru. Cakap-cakap tentang penyingkiran Dr. Mahmud Izzat mantan Setiausaha Jamaah bertujuan menenangkan keadaan yang mereka gelar sebagai ‘Islahiyyun’ adalah cakap-cakap yang tidak perlu dijawab. Dr. Mahmud adalah seorang murabbi, sentiasa waspada dan warak. Beliau telah berjihad demi umatnya dan memenangkan fikrah Islam yang sederhana, fikrah yang telah didokong Jamaah IM. Usaha-usaha menyifatkannya sebagai penggerak tersembunyi adalah tidak benar.

Beliau menyatakan bahawa Jamaah sentiasa menghulurkan tangannya kepada pihak pemerintah (Mesir), seluruh anasir kekuatan tanahair dan parti politik demi kepentingan Mesir. Menggambarkan pendirian ini sebagai bersekongkol dengan pemerintah adalah usaha-usaha untuk memburukkan Jamaah. Beliau menegaskan bahawa, sekalipun dalam situasi ini, Jamaah akan tetap meneruskan segala usahanya demi kepentingan rakyat Mesir, Arab dan umat Islam. Jamaah akan meletakkan tangannya bersama pemerintah. Jamaah akan bekerjasama selagi pemerintah memberikan kebebasan, mengamalkan demokrasi, melaksanakan undang-undang dan Jamaah akan berusaha mengangkat tekanan, paksaan dan kezaliman. Jamaah akan menunaikan kewajipan terhadap tanahair, bangsa dan memperjuangkan permasalahan bangsa Arab dan umat Islam.

Tidak Diwariskan

Mursyid menekankan bahawa IM menolak prinsip mewariskan kerajaan yang ingin dilaksanakan pemerintah kerana sistem mewariskan kerajaan adalah bertentangan dengan demokrasi yang diperjuangkan oleh golongan terhormat. Beliau memberi isyarat bahawa dalam keadaan peruntukan fasal 76 yang dicela dan perenggan-perenggan yang menyekat kebebasan dan dalam keadaan pemantauan sistem kehakiman ke atas perjalanan pilihanraya, anak presiden samalah seperti orang Mesir lain berhak mencalonkan dirinya untuk dipilih rakyat.

Yang Berbahagia Mursyid meminta Presiden Husni Mubarah melucutkan jawatannya sebagai ketua Parti Kebangsaan dan beliau hendaklah menjadi presiden kepada semua rakyat Mesir. Beliau hendaklah mentaklifkan ‘Kerajaan Sementara’ melaksanakan pilihanraya dalam suasana demokratik, tanpa campur-tangan kuasa Eksekutif . Beliau hendaklah memberikan kuasa penuh kepada rakyat untuk membuat pilihan. Mursyid menekankan pentingnya diwujudkan satu jawatan-kuasa terdiri daripada golongan pakar dan undang-undang untuk melihat semula perlembagaan dengan syarat beliau tidak mengabaikan seseorang atau menjauhkannya.

Dalam isu berkaitan pilihanraya yang akan datang, apakah IM akan turut serta atau tidak Mursyid menekankan bahawa IM ada perinsip umum; iaitu akan turut serta dalam semua pilihanraya. Khusus mengenai pilihanraya akan datang, penglibatan IM akan ditentukan pada masa itu. Jamaah akan memutuskan pendiriannya berdasarkan pendapat Majlis Syura daerah.

Bersabit dengan soalan BBC bahawa pihak pemerintah tidak akan membenarkan IM memenangi lebih daripada 20 kerusi, Mursyid menjelaskan bahawa cakap-cakap ini sangat pelik dan patut ditanya siapa yang menyebarkannya. Beliau membuat contoh pemilihan dalam Maktab Irsyad, tiada siapa tahu siapa yang masuk dan siapa yang keluar daripada Maktab Irsyad kecuaali selepas keputusan pengundian. Itu pemilihan dalam Maktab Irsyad, apa pandangan anda tentang pilihan raya umum yang keputusannya terserah kepada rakyat Mesir. Mursyid menekankan lagi bahawa ada cakap-cakap yang IM hanya akan memenangi 20 kerusi sahaja. Ini bererti bahawa ada pihak yang membocorkan rahsia maklumat ini. Ini juga petanda awal yang menunjukkan bahawa pihak pemerintah telah membuat keputusan terhadap perkara yang akan datang. Di masa sama Mursyid meminta supaya pilihanraya dilaksanakan dengan cara yang bersih dalam suasana penuh demokratik, jauh daripada campurtangan pihak keselamatan yang mengarahkan pilihan pengundi.

Mursyid berterima kasih kepada wakil-wakil IM dalam perlimen yang telah menjalankan tugas mereka di samping menarik perhatian bahawa mereka yang dahulunya mengundi calon-calon IM itulah juga insya Allah yang akan memilih mereka pada pilihanraya akan datang. Beliau juga menekankan bahawa Jamaah sedang meneliti saiz penglibatan yang didasarkan kepada kaedahالمشاركة لا المغالبة (melibat bukan memenangi) di samping memberi peluang kepada calon wanita. Jamaah akan bekerjasama dengan semua pihak tanpa terikat dan tanpa bertolak ansur dalam perkara-perkara thawabit IM

Golongan Qibti

Bersabit soalan lain mengenai pendirian Jamaah terhadap golongan Qibti (penganut Kristian) Mursyid menekankan bahawa mereka adalah rakan kongsi tanah watan, mereka punya hak sama dengan orang Islam dan mereka ada kewajipan sama dengan orang Islam. Beliau menjelaskan keputusan Jamaah mengenai isu pencalonan wanita dan golongan Qibti ke jawatan wilayaah ammah adalah pilihan Jamaah yang bersifat fiqhi yang diambil berdasarkan fatwa ulamak-ulamaknya dari Universiti Azhar. Ini tidak bermakna Jamaah memfardukannya ke atas individu. Apapun ia terserah kepada rakyat menentukan siapa pilihan mereka. Beliau memberikan kenyataan Pope Syenudah ketiga sebagai bukti. Syenudah menjelaskan bahawa golongan Qibti tidak pernah berfikir untuk melantik Qibti menjadi presiden Mesir, kerana perkara ini tertakluk kepada majoriti rakyat Mesir, iaitu orang Islam.


Mursyid menambah lagi bahawa keputusan Syenudah adalah bijak. Inilah juga pandangan IM atas dasar Mesir adalah Negara Islam dan jawatan ketua negara ada tuntutan tersendiri sejajar dengan identiti negara ini.

Bersabit soalan bahawa cadangan ini bercanggah dengan prinsip hak asasi kerakyatan, beliau menjawab bahawa IM menuntut prinsip ini diberikan kepada IM, kerana merekalah golongan paling banyak menerima tekanan di Mesir. Beliau menuntut supaya apabila semua pihak bercakap mengenai hak asasi ia mestilah merangkumi semua kelompok yang tertindas, IM adalah satu daripada kelompok-kelompok itu, merekalah yang dirampas hartanya, ditangkap, dibawa ke mahkamah tentera, kehormatan rumahtangga mereka dicabul. Beliau menjelaskan bahawa sistem pemerintahlah yang telah mengeruhkan keadaan umum Negara.

Beliau menekankan lagi bahawa cubaan memainkan fitnah kelompok adalah permainan yang sangat merbahaya. Merawat fitnah ini tidak cukup dengan pelukan, kucupan dan majlis propaganda rasmi. Ia memerlukan rawatan serius yang dapat menyelamatkan Mesir dan penduduk Qibti dan Islam daripada bahaya fitnah dalaman yang dianggap sebagai salah satu yang bercanggah dengan sistem dan menghakis hak. Ini akan menambah lagi ketegangan dalaman.

Beliau berkata: IM berusaha dengan apa sahaja cara yang mereka dapat untuk mencabut duri fitnah ini melalui seruan hidup bersama dalam keadaan damai melalui satu system Islam yang memberikan kepada orang-orang Qibti hak mereka bersama saudara-saudara mereka orang Islam.

Hamas Dan Tembok Besi

Berkaitan isu Palestin, Mursyid menekankan bahwa ia adalah kewajipan tanah air yang syar`ie. Beliau menuntut supaya Presiden (Mahmud Abbas) kembali kepada bangsanya, berkubu bersama saudara-saudaranya. Beliau menyatakan bahawa IM tegak bersama barisan pejuang syar`ie yang diwakili Hamas dan seluruh kekuatan pejuang Pelastin.

Tentang tuduhan yang dilemparkan BBC bahawa IM membantu Hamas dengan mengorbankan kepentingan rakyat Palestin, kerana Hamas merupakan sebahagian daripada Ikhwan. Buktinya ialah Ismaih Haniyeh telah memberikan bai`ah kepasa Mursyid baru Ikhwan. Tuduhan ini dijawab Mursyid dengan menyatakan bahawa Ustaz Mahdi `Akef mantan Mursyid Ikhwan telah banyak kali berhubung dengan mereka yang bertanggungjawab di Palestin, di antara mereka yang dihubungi Mantan Mursyid ialah Mahmud Abbas. Beliau telah menasihatinya supaya tidak menyimpang di sebalik apa yang berlaku dan fitnah dalaman. Sekiranya Presiden Mahmud mendengar nasihat Ustaz `Akef keadaan tidak akan sampai seperti apa yang berlaku. Mursyid memberi tahu bahawa Hamas dan kerajaannya adalah satu-satunya kerajaan yang sah dari sudut undang-undang di Palestin, sama ada dari sudut realiti atau dari sudut keputusan pilihanraya lalu.

Tentang isu Ismail Haniyeh memberi bai`ah Mursyid menjelaskan bahawa Perdana Menteri Palestin di Gaza telah berhubung dengannya dan memberi tahniah, sama seperti keanamaan-kenamaan lain di Mesir dan lainnya memberi tahniah.

Mengenai soalan berkaitan pendirian Ikhwan terhadap tembok besi, Mursyid menjawab bahawa laluan Rafah adalah penyambung hidup rakyat Palestin yang terkepong di Gaza. Mengenakan sekatan ke atas rakyat Palestin bererti membunuh 1.5 juta manusia yang tidak berdosa kecuali kerana mereka memilih orang yang mewakili mereka dalam pilihanraya. Menutup pintu laluan tidak memberikan peluang lain kepada rakyat Palestin kecuali mencari laluan lain yang dapat memberikan udara kehidupan agar mereka mampu hidup. Laluan ini ialah terowong-terowong. Oleh kerana itu membina tembok besi dan menutup laluan bererti menghukum mati kelaparan 1.5 juta rakyat Palestin. Mursyid menuntut Presiden Husni Mubarak menunaikan janjinya yang beliau tidak akan membiarkan rakyat Palestin dilaparkan. Rakyat Palestin yang menghadapi bencana kemanusiaan kini di dalam kepungan yang kukuh dengan ketiadaan makanan dan ubatan.

Dialog Dengan Amerika

Berkaitan isu dialog dengan Amerika atau Barat, Mursyid menyatakan bahawa pintu IM terbuka kepada mana-mana pihak yang rasmi dengan syarat dialog itu dilakukan melalui saluran rasmi di Mesir, ini kerana Ikhwan menghormati institusi, memeliharanya dan berusaha mempertahankannya, tanpa mengambil kira pendiriannya terhadap sistem pemerintah. Apa pun, beliau juga menyatakan bahawa dialog dengan bangsa Amerika dan pertubuhan NGO adalah sangat dialu-alukan oleh IM. Ia bertujuan memperkenalkan Islam yang sedarhana atas perkiraan bahawa ia adalah senjata utama memelihara manusia daripada pertelagahan. Di samping itu Mursyid meminta rakyat Amerika membuat tekanan ke atas kerajaan mereka supaya mengambil pendirian yang adil terhadap isu Arab dan Islam, tanpa campur tangan dalam urusan khusus negara lain dan memaksakan siasahnya dengan paksaan atau tekanan.

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=210
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template