Saturday, February 27, 2010

Risalah Mursyid:Memperingati Syahidnya Hasan Al-Banna (2)


Imam Al-Banna dan Permasalahan Umat

11 Februari 2010



Risalah dari Dr. Muhammad Badee’ Mursyid Am Ikhwanul Muslimin

Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan orang-orang yang mengikuti selepasnya.

Hari-hari berlalu dan tahun bertukar tahun pelbagai peristiwa, ujian dan cubaan yang disangka oleh musuh-musuh Allah seperti ‘alat pencukur` untuk melenyapkan dakwah IM telah berlaku. Namun ia sedikitpun tidak menggugat gerakerja IM melainkan semakin bertambah dan meningkat pegangan kepada prinsip-prinsip dakwah IM serta bertambah yakin dengan dakwah mereka dan berterusan dalam berkorban dan berjuang untuk agama, fikrah dan tanah air mereka. Bukan untuk mencari kepentingan peribadi atau keuntungan duniawi tetapi semata-mata mengikuti jejak langkah Rasulullah saw.

Bersama dengan perjalanan dakwah IM yang penuh berkah ini, bendera iman masih terpahat di dalam hati, mengalir di urat nadi sebagai amanah, terpaku dalam tingkahlaku sebagai komitmen dan terbukti dalam pekerjaan dan berbagai akitiviti sebagai ibadah dan jihad.

Perkara terbesar yang dapat memberikan kegembiraan bagi para pendukung yang beriltizam adalah meninggikan bendera yang dapat memberikan naungan kepada mereka, memberikan keselamatan perjalanan hidup mereka di hadapan orang-orang yang terus mengintip-intip Islam dan umat Islam dalam rangka mematahkan segala aktiviti dan agenda Islam yang sedang terbina. Hal ini mampu memberikan keamanan bagi semua khususnya orang-orang yang di dalam hati mereka memiliki keyakinan akan kebenaran dakwah IM, meresapi dalam diri mereka pemikiran Imam Al-Banna dan sikap-sikapnya terhadap berbagai masalah umat. Lantas mampu membuat para penulis, intelektual dan pendukung selama lapan dekad terakhir sibuk dengan hal tersebut.

Terbukti Imam Al-Banna telah sibuk dengan isu-isu dunia Islam dan permasalahan umat Islam di dalam mahupun di luar negeri khususnya masalah Palestin yang menjadi perhatian sepenuhnya. Malah Al-Banna selalu menyebut isu Palestin dalam setiap perhimpunan anggota IM.

Imam Al-Banna telah menganggap permasalahan Palestin seperti dalam ungkapannya:

“Kecintaan kepada Palestin telah menempati di dalam jiwa kita secara ruhi dan kudus mengatasi kecintaan tanahair sendiri. Allah telah menganugerahkan kita kemuliaan Baitul Maqdis yang penuh berkah kerana keberkatan para nabi dan siddiqin dan tempat kelahiran Nabi Isa AS. Semua itu mampu menghidupkan jiwa dan membangkitkan ruh.

Menurut Imam As-Syahid isu Palestin adalah isu yang berada pada kedudukan pertama yang merupakan isu dan permasalahan terbesar bagi Islam dan para penganutnya, sebagaimana As-Syahid berkata:

“Palestin adalah jantung tanah air kita, denyut nadi negeri kita, dan pati dari modal kita, pangkal perpaduan dan kesatuan kita, dan atasnya pula tergantung kemuliaan Islam atau kehinaannya”.

Imam Syahid Al-Banna menjadikan isu Palestin sebagai isu bagi bangsa Arab dan umat Islam di abad kedua puluh ini sehingga IM telah banyak memberikan dukungan dalam misi jihad di Palestin sejak tahun tiga puluhan. Pada pada tahun 1935 Imam Al-Banna berhubung dengan mujahid Izzudin Al-Qassam. Pada tahun 1936 pula As-Syahid memberikan ucapan yang berkobar-kobar dan bersemangat serta menyeluruh kepada anggota IM untuk menyertai jihad Palestin dan mengumpulkan harta mereka untuk mendukung para mujahidin semasa terjadi intifadhah besar-besaran di Palestin.

Justeru telah berlangsung muktamar Arab terbesar untuk memberikan sokongan kepada Palestin yang diadakan di ibupejabat IM di Mesir pada tahun 1938 yang turut dihadiri para pemimpin dunia Arab. Pada tahun 1947 sebagai respons terhadap seruan IM terbentuk sebuah yayasan yang terdiri dari berbagai pertubuhan politik di Mesir iaitu “Yayasan Lembah Nil untuk menyelamatkan Al-Quds” .

IM bukan sekadar menyertai jihad di Palestin dan menghantar para sukarelawan ke sana setelah diputuskan pembagian tanah Palestin kepada Negara haram Isreal pada tahun 1947 yang diiktiraf oleh PBB bahkan terbukti mereka memiliki track record yang baik yang disaksikan oleh dunia dan melakarkan sejarah dengan darah para syuhada tentang kepahlawanan IM bersama saudara mereka di Palestin. Kemudian dituruti dengan syahidnya oleh Imam Al-Banna pada tahun 1949.

Al-Banna dan Patriotisme

Imam Al-Banna berpendapat bahawa patriotisme dengan arti cinta kepada negara dan berhajat kepadanya, bekerja keras untuk memerdekakannya dan membina keutuhannya, mempertaut ikatan yang erat di antara rakyatnya supaya kebajikannya kembali kepada mereka merupakan pandangan yang tepat seperti yang ditetapkan oleh Islam. Justeru kerana kefahaman itulah kami yakini dan bekerja keras untuknya sebagaimana yang diingatkan oleh Imam As-Syahid bahawa IM merupakan manusia yang paling ikhlas terhadap tanahair mereka dan tidak berkira dalam memberikan khidmat kepadanya. Bahkan asas patriotisme menurut IM adalah aqidah yang berada di puncak tertinggi.

Dalam Risalah “Ila syabab” (Buat para pemuda) As-Syahid Al-Banna mengingatkan bahawa IM terus bekerja untuk tanahair mereka iaitu Mesir, berjuang di jalannya serta menyerahkan diri dalam berjihad di jalannya. Justeru Mesir adalah salah satu Negara Islam dan pemimpin negara Islam dan umat Islam. Ini merupakan bahagian pertama dari siri menuju kebangkitan yang diidamkan. Bahkan Mesir merupakan sebahagian dari negeri Arab secara umum. Kami ketika sedang bekerja untuk Mesir berarti juga bekerja untuk Arab, Timur dan Islam.

Karena itu, sikap patriotisme yang dibangun oleh Imam Al-Banna mampu membina pada setiap individu perasaan penggabungan yang tinggi dan perasaan memiliki negeri Mesir serta rasa tanggung jawab terhadapnya, mampu membangkitkan jiwa untuk bekerja menuju kemerdekaan dan kegemilangannya. Pada saat yang sama mampu memperluas bayangan terhadap negeri lain dengan anggapan bahawa Mesir merupakan bahagian pertama dari kebangkitan yang diimpikan.

Al-Banna dan persatuan Arab

Imam Al-Banna menjelaskan bahawa Arab dalam dakwah IM memiliki posisi yang sangat penting dan strategik kerana Arab merupakan umat Islam yang pertama. Islam muncul dan berkembang dari negeri Arab dan berbahasa Arab. Islam tersebar ke serata pelusuk negeri melalui orang-orang Arab. Kitab sucinya juga berbahasa Arab. Bersatunya bangsa-bangsa dengan nama Islam atas bahasa Arab. Justeru Arab adalah inti Islam. Al-Banna memperingatkan akan bahaya terlepasnya Mesir dari persatuan Arab dengan menjelaskan bahawa betapa pentingnya Mesir berpegang teguh pada bahasa Arab dan semangat Arab kerana Arab sebagai sebuah bangsa yang berakar umbi dari Teluk Parsi hingga ke Lautan Atlantik.

Imam Al-Banna juga menjelaskan bahawa persatuan Arab merupakan perkara yang sangat penting untuk mengembalikan daulah Islam dan kemuliaannya. Wajib ke atas setiap muslim untuk bekerja bagi menghidupkan kembali persatuan Arab dan kesatuannya, mendukung dan membelanya, kerana tanpa adanya seiring sekata pada bangsa Arab dan kebangkitannya maka tidak akan terjadi kebangkitan Islam. As-Syahid berkata:

Pada hakikatnya persatuan Arab yang berada pada posisi yang tepat mampu menyatukan dan menghimpun semua komponen Arab di muka bumi ini baik di timur maupun di barat, bahkan Arab akan mampu mengungkapkan ucapannya sehingga dihormati oleh Arab dan bukan Arab. Persatuan Arab ini sebagai sebahagian dari kewajiban kita untuk bekerja memperkuat dan menyokong serta mendukungnya. Menjadi sebahagian hak kita agar setiap manusia mengakui, menghargai dan menghormatinya, menyakini bahawa ketika bangsa Arab kuat dan kokoh maka ia merupakan sebahagian dari kekokohan dan kekuatan binaan Islam di seluruh dunia.

IM telah menempatkan isu dunia Arab seluruhnya terutama isu kemerdekaan negara-negara Arab dari penjajahan Barat dan isu persatuan Arab serta mengisi semua suratkhabar dan risalah mereka dengan berita-berita tentang dunia Arab dan membela permasalahannya, memberikan kesedaran akan situasi politik dan angkatan tenteranya. Tidak diragui bahawa penglibatan IM dalam Perang Palestin pada tahun 1948 adalah merupakan bukti terbesar dan konkrit tentang perasaan yang mendalam terhadap bangsa Arab yang tertanam dalam diri dan jiwa IM yang secara sukarela berjuang di Palestin.

Al-Banna dan isu wanita

Imam Al-Banna juga sangat prhatin terhadap isu dan permasalahan wanita. Sejak dari mula As-Syahid telah menyedari akan kepentingan peranan wanita serta potensi sosial yang sangat besar yang terdapat dalam diri wanita. Sikap As-Syahid jelas dengan keprihatinannya mendirikan sekolah khusus untuk “golongan wanita Islam” yang tidak hanya memberikan pengajaran dan pendidikan umum kepada wanita malah memberi fokus kepada aspek tarbiyah, nilai-nilai mulia dan akhlak Islam. As-Syahid menganggap bahawa pengalaman itu merupakan usaha pertama yang serius di dunia Arab – di zaman moden – untuk kemajuan golongan wanita, membangkitkan mereka secara intelektual, sosial dan politik supaya dapat menyertai dan menyumbangkan sesuatu dalam kehidupan sosial dan politik di tengah bangsa Arab.

Dalam risalah Wanita Islam (al-Mar’ah Muslimah) Imam Al-Banna berkata:

Islam telah menjadikan wanita berkongsi hak dan kewajipan dengan lelaki. Hal ini kerana dalam Islam wanita dan lelaki sama dari segi nilai kemanusiaan dan sama dalam nilai kehidupan. Islam juga mengakui hak-hak peribadi, hak-hak peradaban dan hak-hak politik. Islam memperlakukannya sebagai manusia dengan kesempurnaan kemanusiaannya yang memiliki hak dan kewajipan. “

Al-Banna dan orang-orang Kristian Koptik

Imam Al-Banna dalam berbagai ceramah dan risalahnya banyak menyentuh sikap terhadap golongan minoriti terutama Kristian Koptik. Dalam risalah Dakwah Kita (Dakwatuna) beliau berkata:

Islam adalah agama persatuan dan persamaan. Islam menjamin hubungan dan ikatan ini selama mereka mahu bekerjasama: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”. (Mumtahanah:8),Jadi di manakah letak perbedaan dan perpecahan itu?"

Dan dalam risalah Menuju Cahaya (Nahwan-Nur) beliau menyampaikan:

Islam melindungi kaum minoriti dengan cara: iaitu Islam sangat mensucikan kesatuan kemanusiaan secara umum dan kesatuan keagamaan secara khusus dengan mewajibkan kepada orang-orang yang beriman untuk meyakini dengan seluruh risalah sebelumnya, dan kemudian mensucikan kesatuan agama secara khusus tanpa berlebihan dan besar diri”.

Al-Banna juga mengatakan:

Bahawa hal ini merupakan (model kesaksamaan Islam) yang tidak lagi menjadi alasan sehingga boleh memecah belahkan kesatuan yang sedia terjalin. Bahkan diharap dari kesatuan ini mampu mencapai ciri kesucian agama Islam setelah selama ini hanya meletakkan sumber kekuatannya pada teks sivil sahaja. “


Begitu juga As-Syahid berpesan dalam risalah Ila syabab untuk bersikap adil kepada suku Koptik dan berbuat baik dalam berurusan dengan mereka. Hal ini kerana kita dan mereka seperti pepatah ‘cubit peha kanan peha kiri akan terasa sakit’. Jangan sekali-kali kita menyeru kepada perkauman atau semangat kesukuan.


Al-Banna dan sistem ekonomi

Imam Al-Banna juga mengajak kepada kemerdekaan ekonomi dari penguasaan asing dan peningkatan ekonomi negara. Justeru dalam berbagai ucapannya As-Syahid menuntut untuk mencapai hal tersebut seperti menggalakkan industry kraftangan, memajukan bidang industry perkilangan selain bidang pertanian dan membimbing umat Islam agar mengamalkan cara hidup berjimat cermat dan memberi perhatian kepada program pembangunan nasional.

IM juga telah berusaha melampaui seruan teori kepada kebangkitan dan kemajuan ekonomi. Justeru mereka menyeru agar memboikot berbagai barangan, pasaraya dan perusahaan asing. IM juga menubuhkan pelbagai syarikat dan mendirikan perusahaan yang memberikan saham kepada kemajuan ekonomi Negara. Bahkan IM mengajak para pekerja untuk menuntut hak-hak mereka dalam suratkhabar dan buku-buku mereka.

Al-Banna dan sistem perundangan

Imam Al-Banna dalam Risalah Muktamar al-Khamis berkata:

Bahwa tabiat Islam yang selalu selaras dengan perkembangan zaman dan bangsa, dan menerima berbagai tujuan dan tuntutannya, selamanya tidak menolak untuk tidak mengambil manfaat dari semua sistem yang berlaku selama tidak bertentangan dengan aturan-aturan umum dan konsep-konsep dasarnya

Imam al-Banna telah menyesuaikan manhaj Islam dalam menentukan pendirian tentang sistem parlimen dan perundangan yang lahir dari demokrasi Barat. Di dalam risalah Nahwan Nur As-Syahid berkata:

Penerapan sistem berparlimen yang kita contohi dari Eropah tidaklah bertentangan dengan Islam dalam sistem pemerintahan. Justeru berdasarkan perkiraan tersebut jelaslah bahawa sistem berparlimen tidak jauh dan tidak asing dari Islam.

Oleh kerana itu prinsip dan tujuan yang dibawa oleh Islam dalam menerapkan keadilan bagi umat dan negara akan dapat dicapai dengan “sistem sivil” dan “pengalaman manusia” yang merupakan kreativiti manusia. Norma dalam penerimaan dan penolakan adalah sejauh mana umat mampu mewujudkan sistem ini sesuai dengan tujuan (maqasid) Islam terhadap penglibatan bangsa dan umat dalam menetapkan keputusan dan mewujudkan keadilan di tengah umat manusia.

Demikianlah pendirian Imam Syahid Hasan al-Banna yang mampu merasa berbagai permasalahan umatnya dengan ruh, indera, akal dan pemikirannya. IM hingga saat ini masih berjalan di atas manhajnya, berpegang teguh dengan prinsip-prinsip dan ruang lingkup yang sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah. Begitu juga dengan pendiriannya yang jelas dan tegas terhadap berbagai masalah bangsa di mana ia hidup di dalamnya dan rela mati syahid kerananya.

Inilah yang pernah disampaikan oleh Imam Banna dalam ungkapannya yang universal pada saat beliau ditanya: “Siapakah Anda” lalu beliau menjawab:

Saya adalah seorang pelancong yang mencari kebenaran, seorang manusia yang mencari makna kemanusiaan di tengah umat manusia, seorang warga negara yang mengidamkan sebuah negara yang memiliki martabat, kebebasan dan keutuhan serta kehidupan yang baik dibawah naungan Islam yang suci. Seorang yangsemata-mata berharap menemukan rahsia kewujudannya di dunia. Lantas As-Syahid membacakan ayat: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian Itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”. (Al-An’am:162-163)

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=60291&SecID=213
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template