Friday, February 26, 2010

Penglibatan Besar IM dalam Pilihanraya Sudan




Rabu, 17 Februari 2010

Tanpa dijangka, Ikhwan Muslimun Sudan telah menamakan seramai 140 orang calon untuk bertanding dalam kerusi pilihanraya legislatif, presiden dan kawasan menerusi pencalonan rasmi yang telah bermula pada hari Sabtu, 13 Februari. Ia akan berterusan selama 56 hari sebelum tarikh pengundian yang dijadualkan pada 11 April hingga 13 April.

Pilihanraya Presiden Sudan ini merupakan suatu pilihanraya yang bersejarah dan unik. Ia merupakan pilihanraya pertama yang melibatkan pelbagai parti politik sejak 1986 dengan 66 parti yang akan bertanding selaras dengan Perjanjian Damai Komprehensif (CPA) yang ditandatangani pada 31 Disember 2004.

Kepentingan pilihanraya Sudan ini dapat dilihat dari saingan yang sengit untuk kerusi presiden dengan 12 calon bertanding untuk jawatan tersebut, termasuk bekas Perdana Menteri Sudan Sadiq al-Mahd dan bekas pemberontak Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM) dari selatan, Yasir Arman di samping sembilan calon lain. Calon yang disokong oleh Ikhwan Muslimun, Presiden Omar al-Bashir, iaitu calon dari parti pemerintah Parti Kongres Kebangsaan, merupakan calon utama untuk memenangi kerusi presiden. Kalangan pembuat keputusan dari Ikhwan Muslimun melihat beliau sebagai calon yang paling berkemampuan dan berkelayakan dalam arena politik yang genting pada masa sekarang. Sumber-sumber yang boleh dipercayai dari pergerakan itu melaporkan bahawa Ikhwan Muslimun berpandangan, “penyatuan Sudan memerlukan individu yang mempunyai personaliti yang kuat seperti Presiden Omar al-Bashir.”

Pilihanraya Sudan di peringkat nasional akan menyaksikan kehadiran yang kukuh dan penglibatan yang luas daripada Ikhwan Muslimun. Barisan calon mereka termasuk Professor Yusuf Hibir Nur Al-Da’im, ketua umum Ikhwan Muslimun Sudan, iaitu calon yang paling dikenali dalam pilihanraya Sudan ini di samping Dr. Sami Abd El Dayem Yassin yang merupakan ketua Bahagian Politik Ikhwan Muslimun dan timbalannya, Dr. Essam Youssef, dan Sheikh Ali Gawish. Sekumpulan ahli wanita IM, serta Nafisa Abdul Rahman iaitu isteri kepada bekas ketua umum Ikhwan Muslimun, Sheikh Sadiq Abd Allah Abd Al Majid adalah sebahagian daripada calon-calon dalam pilihanraya Sudan ini.

Sistem pilihanraya semasa dan bilangan calon yang ramai adalah alasan kepada penglibatan, menurut sumber pergerakan itu, terutama sekali sistem perwakilan berkadar yang dilihat sebagai cara dan saluran terbaik bagi calon berbanding sistem konstituensi berasaskan geografi.

Seorang pemimpin penting Ikhwan Muslimun, Mohamed Hibr, menjangkakan Ikhwan Muslimun akan menang di beberapa kawasan dalam pilihanraya akan datang terutamanya kawasan ketua umum Ikhwan Muslimun. Dalam kenyataan eksklusif di Islamyoon.net, Hibr menyebut bahawa wakil-wakil yang berkelayakan dari Ikhwan Muslimun di banyak konstituensi seperti di negeri Kordofan memungkinkan mereka mencapai kemenangan bagi 50 % calon yang bertanding.

Hibr menegaskan bahawa IM tidak berhajat untuk bertanding menentang wakil-wakil dari parti pembangkang yang lain di mana-mana kerusi, sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengadakan perundingan awal dengan mereka. Kebanyakan calon Ikhwan Muslimun yang akan bertanding adalah di daerah-daerah utara Sudan. Ikhwan Muslimun akan melaungkan slogan yang menyeru kepada “pelaksanaan undang-undang syariah, kesatuan dan perubahan dengan hati.” Beliau menekankan bahawa matlamat utama bukan untuk memenangi undi tetapi untuk memenangi hati yang didorong dan diilhamkan oleh nilai-nilai agung Islam supaya Sudan boleh menjadi tempat untuk semua orang.

Pemerhati politik melihat penyertaan Ikhwan Muslimun sebagai satu tindakan yang berani. Walaubagaimanapun mereka tidak menjangka Ikhwan Muslimun akan mendapat keputusan yang baik di konstituensi kerusi parlimen yang ditandingi secara kerjasama Parti Kongres Kebangsaan. Hal ini berpunca daripada pengaruh yang terhad Parti berkenaan dalam pandangan umum rakyat Sudan di bawah program Islamisasi parti pemerintah.

Menurut wartawan Sudan, Walid al-Tayeb, usaha Ikhwan Muslimun untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya akan datang adalah bergantung kepada kerja amal, kerja dakwah dan sejarah kepimpinan yang cemerlang di mata rakyat Sudan terutamanya kerana Ikhwan Muslimun terkenal dengan pemimpin-pemimpin yang dihormati dan dikenali berbanding kesan kerja sosial yang dilaksanakannya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ikhwan Muslimun Mesir berpandangan bahawa penyertaan Ikhwan Muslimun dalam pilihanraya Sudan merupakan urusan dalaman mereka dan bukan urusan Ikhwan Muslimun Mesir. Dalam sebuah kenyataan ekslusif kepada Islamyoon.net, Dr. Saad Al Katatni mengutarakan bahawa kedudukan rasmi Maktab Irsyad Ikhwan Muslimun dalam isu-isu rumit seperti ini adalah diguna pakai dan mereka tidak mahu masuk campur dalam urusan dalaman di negara-negara lain.

Pilihanraya Sudan yang akan datang merupakan pilihanraya demokrasi yang pertama setelah 24 tahun. Pengundi-pengundi yang kurang berpengalaman di Sudan akan berhadapan dengan salah satu pilihanraya paling kompleks yang pernah dicatatkan dengan sekurang-sekurangnya 6 undi yang berbeza untuk pencalonan presiden, gabenor, dan ahli-ahli Majlis Perundangan Kebangsaan Sudan di samping ahli-ahli Majlis Negeri seluruh Sudan dan gabenor bahagian selatan serta ahli-ahli Majlis Perundangan Selatan Sudan. Calon Presiden yang mewakili selatan buat pertama kali dan seorang calon wanita, Fatma Abdel-Mahmoud adalah sebahagian daripada calonnya. Beliau juga wanita Sudan pertama yang dicalonkan sebagai menteri dalam era pemerintahan bekas Presiden Numeiri.

Ulamak terkemuka Sudan, Sheikh Abdullah Yusuf telah menggesa para ulamak dan pemikir Sudan untuk menyeru rakyat agar mengundi calon-calon yang paling hampir dengan Allah. Hal ini ialah untuk menjamin penerusan undang-undang syariah memandangkan kebanyakan calon yang bakal bertanding dalam pilihanraya presiden pada bulan April dilihat sebagai cenderung untuk menjalankan undang-undang syariah Islam.

Permintaan daripada Timbalan Ketua Ulamak Sudan itu dibuat dua hari selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh sekumpulan ulamak Sudan, Arab Saudi dan negara-negara lain yang menuntut kerajaan Sudan yang diwakili oleh Parti Kongres Kebangsaan untuk mengekalkan hegemoni identiti Arab-Islam di Sudan dan menyeru rakyat supaya tidak mengundi mereka yang menolak untuk melaksanakan undang-undang Allah di atas muka bumi ini serta menolak apa yang dinamai Referendum Hak Penentuan Sendiri 2011, yang boleh mengakibatkan pemisahan antara selatan dan utara.

Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=23226
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template