Friday, February 12, 2010

Kenyataan IM tentang serangan ganas terhadap ahli-ahli IM


Selasa, Februari 9, 2010







Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang


Sedang warga Mesir dipaksa mengharungi kemelut keganasan rejim yang bermaharajalela dan rasuah yang berleluasa, serta kemunduran dan kebuntuan politik di samping pelbagai masalah lain yang mendesak keselamatan negara dan penduduknya, pasukan keselamatan melakukan beberapa siri penangkapan sebilangan pemimpin IM sekitar fajar 8 Februari 2010.


Dr Mahmoud Ezzat, Naib Mursyidul Am, Dr Essam Elaryan dan Dr Abdel Rahman Al-Barr daripada Maktab Irsyad adalah antara mereka yang ditangkap. Dr Mohyi Hamed, ahli Maktab Irsyad juga diserbu.
Mereka ditangkap tanpa melakukan apa-apa kesalahan selain daripada menyeru ke arah pembaharuan (reform) dan kebebasan dan hanya kerana mereka menggunakan pendekatan sederhana, pendekatan yang begitu diperlukan oleh Mesir pada saat ini.

IM menegaskan bahawa penangkapan tersebut tidak akan mengubah jalan mereka yang telah dipilih untuk membangunkan bangsa dan mereka akan tetap meneruskan perjuangan mereka menggunakan segala cara damai dalam memperjuangkan kebebasan dan menentang rasuah dan kezaliman.


IM mempersoalkan hubungan antara penangkapan ini dengan apa yang sedang direncanakan untuk Palestin dan sokongan terus menerus IM kepada perjuangan rakyat Palestin serta penduduk yang terkepung di Gaza dan perubahan politik yang dijangka berlaku dalam tempoh mendatang serta persiapan untuk pilihanraya presiden dan pemilihan parlimen.

IM menyeru pembebasan serta merta mereka yang ditahan baru-baru ini. Begitu juga, kesemua tahanan IM lain yang dipenjara berdasarkan keputusan mahkamah tentera yang tidak adil hanya kerana mereka menyeru ke arah pembaharuan, sedangkan perasuah-perasuah di serata negara yang merampas kekayaan rakyat dan menghancurkan masa depan negara dibiarkan bebas.


Mereka juga menyeru agar semua kuasa politik yang pelbagai, pertubuhan hak asasi manusia dan masyarakat madani untuk menjalankan peranan masing-masing dalam menyekat sistem pemerintah daripada mempergunakan aparat keamanan dan media untuk mencapai kepentingan ahli dan menentang seteru mereka. Ia hanya memenuhi kehendak kepentingan musuh-musuh bangsa dan menyokong rancangan AS-Israel dalam memprovokasi pertikaian dan krisis di Mesir supaya pengaruh dan keberkesanan peranan mereka dalam arena serantau dan Arab menjadi terhad.


Dalam konteks ini kami ingin bertanya kepada mereka yang menulis, menentang IM dan menuduhnya mengadakan kesepakatan dengan regim pemerintah – ke manakah perginya perjanjian itu dalam situasi sekarang?


Tindakan-tindakan agresif yang dilakukan oleh rejim mempunyai kesan terhadap keselamatan dalam dan luar negara serta mencemarkan reputasi Mesir di mata dunia sedangkan ia hanya akan meningkatkan kekuatan dan ketabahan IM dan memacu mereka untuk melaksanakan tanggung jawab nasional mereka melalui cara-cara damai dan perjuangan berperlembagaan, meskipun ia menuntut pelbagai pengorbanan.


“Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf, 21)


Ikhwan Muslimun
Kaherah,
24 Safar 1432 Hijrah
8 Februari 2010

Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=23080
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template