Monday, December 28, 2009

Kenyataan IM berkaitan isu semasa.


Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22319
Sabtu, 26 Disember 2009


Statement by the MB concerning current events.










Baru-baru ini gerakan Ikhwan Muslimun berdepan dengan spekulasi dan sikap skeptik daripada segelintir individu. Dalam situasi seperti itu, gerakan ini telah berjaya memperlihatkan ketahanan yang kental sambil berdiri dengan tenang dalam menghadapi kritikan yang ditimbulkan. Ia membuktikan, dengan izin Allah, IM akan tetap meneruskan matlamat perjuangannya serta mematuhi jalan perjuangannya. Gerakan itu bertekad untuk menunjukkan kepada manusia perspektif Islam yang sederhana secara teori dan amali sambil mengajak mereka untuk menerap dan menghidupkannya melalui proses membentuk dan mendisiplinkan akhlak, kasih sayang, amalan dan tindakan mereka.


Pertama – Di sebalik tekanan dan kesulitan berterusan yang dihadapi oleh gerakan ini, kami tetap akan meneruskan perjuangan ini kerana Ikhwan berkembang berasaskan iman, pengabdian, ukhuwah dan kesabaran. Roh dan hati kami akan tetap sentiasa terjalin meskipun wujud perbezaan pendapat.

Kedua - Gerakan Ikhwan Muslimun ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang menetapkan ideologi reformasi damai di bidang sosial, politik dan ekonomi. Ia akan terus memperjuangkan matlamatnya berlandaskan saluran pelembagaan yang sah meskipun dikenakan pelbagai penindasan.

Ketiga - Metodologi gerakan ini didasarkan pada asas-asas Islam, etika, dan landasan perundangan yang sah. Kumpulan ini mempunyai beberapa institusi bebas yang mematuhi undang-undang dan peraturan. Tidak berlaku sebarang penyelewengan atau pelanggaran peraturan apa pun daripada undang-undang tubuh negara ini.

Keempat - Kerjasama dan penglibatan kumpulan ini dengan kuasa politik dan sosial adalah sangat penting pada waktu ini jika reformasi ingin dilaksanakan dalam semua bentuknya.

Kelima - Ikhwan Muslimun telah berjaya menjadi komponen aktif dan berkesan dalam semua aspek masyarakat. Kehadirannya jelas di dalam Dewan Rakyat, Majlis Syura, dan Jawatankuasa Perbandaran, kesatuan sekerja, pakatan, kelab dan pelbagai agensi awam. Kami telah bertahan dan bertekad untuk terus menjadi sebahagian komponen masyarakat yang aktif dan kuat sesuai dengan ideologi gerakan yang mengutarakan bahawa Islam bukan hanya sekadar ibadah khusus tetapi suatu cara hidup. Pengasas gerakan Ikhwan Imam Hassan al-Banna menekankan bahawa "menjadi kewajipan setiap Muslim untuk mengembalikan kegemilangan Islam, serta hak dan kebebasannya dengan menyedarkan bangsa dan para pemimpinnya."

Keenam – Di sebalik ketidakadilan yang dikenakan ke atas umat Islam dan gerakan Ikhwan Muslimun, kami berdiri teguh dengan matlamat kami dan akan terus mengikuti jalan kami dengan tekun dan dengan keyakinan kukuh bahawa kebaikan tetap akan menang. Kami percaya jika kejayaan bukan di tempat kami berdiri, ia pasti berada di arah kami bergerak.

Ketujuh - Kami bertekad untuk meneruskan jalan kami dan dalam langkah yang sama untuk berusaha dan bekerjasama dengan pihak lain bagi menjamin kejayaan mempromosikan Islam dan tujuannya, sambil mematuhi dan menghormati saluran yang sah.

Kelapan - Demokrasi dan Syura akan dilaksanakan dalam suasana kejujuran niat dan kesatuan tujuan; amalan yang kami bangga dan megahkan. Melalui kefahaman, keikhlasan, ibadah, ketekunan, integriti, persaudaraan dan saling mempercaya, kami akan terus mara.

Kesembilan - Kami akan mematuhi peraturan, prinsip-prinsip dan ideologi kami dalam semua kegiatan gerakan ini dan kami juga terbuka kepada pembetulan dan pembaharuan melalui saluran yang betul.

Kesepuluh – Mursyidul Am Ikhwan Muslimun, Maktab Irshad, pemimpin dan ahli-ahlinya, lelaki dan perempuan sama-sama berjanji dan bersumpah bahawa mereka akan sungguh-sungguh mengikuti jalan Nabi Muhammad (saw) yang benar serta berusaha untuk mencari keredhaan Allah yang Maha Berkuasa. Kami akan mengorbankan segala yang diperlukan termasuk wang dan kebebasan untuk mencapai matlamat menaikkan panji-panji Islam, mengharapkan pertolongan Allah berpandukan akhlak, ideologi moral dan Syariah Islam.
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template