Wednesday, December 2, 2009

Fenomena Islam di Mesir


Selama dua puluh tahun kebelakangan ini, Mesir telah menyaksikan kemunculan fenomena Islam sejagat yang terserlah dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Mesir.

Ahad, November 29, 2009

Oleh: Dia’a Rashwan.

Artikel Asal: Ikhwanweb http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=21883

Selama dua puluh tahun kebelakangan ini, Mesir telah menyaksikan kemunculan fenomena Islam sejagat yang manifestasinya dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Mesir. Ia telah dijadikan bahan dalam pelbagai kajian dan rencana dengan menggunakan pelbagai istilah bagi memperihalkannya. Kelihatan ia seakan sinonim dengan fenomena Islam secara keseluruhan.


Trend Islam di Mesir sebenarnya tampak lebih luas dan rumit daripada takrifan ringkas ini. Ia merangkumi banyak fenomena cabang yang lain; tidak semestinya pula mempunyai sifat atau ciri yang sama. Ia berbeza dengan pergerakan-pergerakan Islam yang lain dari segi hubung kaitnya dengan politik.


Ia terdiri daripada empat sub-fenomena yang tidak melibatkan apa yang dirujuk sebagai persepsi kerajaan mengenai “Islam rasmi”; iaitu yang mewakili institusi-institusi utama milik negara beserta pengaruh besarnya dalam masyarakat. Al-Azhar berada di kedudukan paling terkedepan beserta kesemua fakulti dan institusinya di samping Kementerian Wakaf, yang terangkum dalamnya hal ehwal pentadbiran, puluhan ribu masjid di seluruh negara serta projek sosial dan ekonomi lain yang dimilikinya.


Sub-fenomena pertama boleh digelar sebagai “Islam sosial", dilihat sebagai sebahagian fenomena kebangkitan agama yang meledak di kebanyakan masyarakat Muslim di serata dunia termasuk Mesir pada suku abad terakhir ini. Ini bermakna fenomena itu telah menjadi trend umum dalam masyarakat Mesir, terutama di kalangan pelbagai kategori kelas pertengahan, juga segmen-segmen kelas rendah dan teratas. Masing-masing berlumba-lumba ke arah peningkatan pengabdian, akhlak dan agama. Kenyataan ini telah diperolehi hasil daripada kajian dan penerbitan meluas menyentuh fenomena ini pada tahun-tahun kebelakangan ini.


Dua ulasan utama berkaitan fenomena sosiologi berkaitan kebangkitan agama boleh diutarakan di sini: pertama, fenomena peningkatan sosiologi terhadap penghayatan agama ini tidak semestinya berhubung kait dengan wujudnya trend kecenderungan dan sokongan secara politik terhadap gerakan-gerakan politik Islam. Malah, ia tidak semesti membayangkan popularitinya di kalangan masyarakat Muslim.


Jelasnya, mereka yang mengamalkan ajaran seperti memakai purdah, mengerjakan solat di masjid atau memiliki dan membeli buku, pita atau CD agama tidak semestinya berminat dalam proses politik atau kepada kumpulan-kumpulan politik pro-Islam yang terkenal di Mesir seperti Ikhwan Muslimun.


Situasi kaitan kebanyakan penduduk Mesir dengan politik rata-ratanya adalah sama iaitu mereka tidak mencampurkan hal politik dengan agama.

Walau bagaimanapun, kadar kewarakan sosial tidak boleh diabaikan tetapi tidak pula boleh ditunjukkan dengan jelas. Sungguhpun begitu, terdapat kecenderungan pada umumnya bagi mengundi Ikhwan Muslimun dalam pilihan raya pelajar dan kesatuan pekerja kerana mereka lebih memberikan perhatian kepada kerja politik berbanding rakan sejawat mereka dari kalangan yang tidak ‘cenderung agama’ walaupun secara sosiologinya terdiri daripada kelas yang sama.


Pengamatan kedua membabitkan perilaku dan nilai sosial di kalangan kumpulan cenderung agama, adalah dalam hal bersangkutan dengan cara berpakaian. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna mereka konservatif dari segi sosial dan agama.

Berikut adalah penjelasan yang paling munasabah bagi pegangan kepada fenomena “keagamaan luaran” yang berkaitan dengan proses psikologi sosial yang kompleks termasuk (1) kecenderungan meniru apa yang dilihat ketara pada masyarakat yang disanjung nilainya dan (2) pola perilaku keagamaan. Pada aspek lain, ia merupakan halangan sosial bagi yang tidak mengamalkannya, yang menganggapnya sebagai manifestasi keagamaan yang tersasar dan ketidakterbukaan sosial dan perilaku konservatif di kalangan mereka yang mengamalkannya.


Keduanya, sub-fenomena sufi yang bermula sejak kurun ke-3 H yang diwakilkan pada hari ini sekurang-kurangnya oleh Gerakan Sufi. Ini terdiri daripada 74 bilangan kumpulan dan sub-pergerakan rasmi, diiktiraf oleh undang-undang serta melibatkan keahlian seramai 10 juta.


Tarikat dan aktiviti sufi Mesir tertakluk di bawah undang-undang Bil 118 tahun 1976, dan hal ehwalnya diurus oleh Majlis Tertinggi Tarikat Sufi. Ahli-ahlinya terdiri daripada sepuluh ahli terpilih syeikh sufi, lima ahli ex-officio terlantik yang mewakili Al-Azhar, Kementerian Waqaf, Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan.


Fenomena hubungan tasawuf Mesir dengan politik dalam dekad-dekad terakhir tampaknya sangat kompleks dan tidak menuju ke arah tertentu. Di satu sudut, fahaman mistik menyelubungi mereka yang menginginkan selain daripada kepentingan duniawi dan tenggelam dalam usaha memahami “kebenaran”. Mereka mentakrifkan diri mereka sebagai “manusia” yang berbeza daripada “manusia hukum" yang mementingkan fenomena urusan duniawi khususnya dalam aspek politik.


Dalam suasana politik pada masa sekarang, terutamanya pilihan raya yang semakin hampir, Tarikat Sufi Mesir turut terlibat dengan menunjukkan sokongan mereka kepada parti pemerintah. Hal ini adalah suatu tradisi yang kelihatan tetap dalam kehidupan politik Mesir sejak revolusi tahun 1952 dan 1960-an. Pihak pemerintah turut campur tangan dalam susunan Sufi bagi mempergunakan populariti mereka yang besar di saat-saat kritikal seperti itu; demi untuk mengukuhkan legitimasi kerajaan Mesir dan beberapa polisi utama mereka.


Salafisme adalah cabang fenomena Islam Mesir yang ketiga. Ia adalah fenomena sosial dan keagamaan konservatif yang menolak sepenuhnya penglibatan dalam politik. Individu mereka terutamanya, mahukan pembaharuan keagamaan dan kepatuhan terhadap semua yang ditinggalkan oleh leluhur yang soleh dan memerangi apa sahaja yang dilihat sebagai inovasi (bid'ah) yang bertentangan dengan risalah sejati Islam. Salafisme adalah suatu fenomena keagamaan lama di Mesir yang telah lama wujud sejak awal abad ke-20. Ia memiliki institusi-institusi besar yang terbentuk dalam masyarakat seperti Al-Jam`iyyah As-Shar`iyyah - mentadbir manusia dengan Kitab (Al-Quran) dan Sunnah, yang ditubuhkan pada tahun 1912 atau Jama'at Ansar al-Sunnah al-Muhammadiyah yang ditubuhkan pada tahun 1926. Hari ini, ia mempunyai ratusan cawangan dan puluhan ribu masjid serta projek-projek sosial dan agama di pelbagai wilayah Mesir, di samping memiliki prinsip-prinsip murni Salafi yang terkenal.


Pelbagai persatuan dan kumpulan Salafi di Mesir, baik pada masa lalu atau sekarang, sentiasa menjauhkan diri daripada amalan politik. Mereka tidak menubuhkan sebarang organisasi berdasarkan kriteria politik. Mereka yang menganggotai gerakan Salafi, sama ada lelaki atau perempuan beriltizam dengan amalan-amalan ketat berdasarkan apa yang mereka yakini sebagai Sunnah (Sunnah muakada) yang diperintahkan oleh Nabi (saw) yang tidak boleh ditinggalkan.


Satu perkara yang tidak disangkal lagi adalah dalam beberapa tahun lepas, Mesir telah menyaksikan pertambahan pengaruh Salafisme. Jelas jika dilihat dengan tersebar luasnya gadis berjubah dan berpurdah serta perawakan berjanggut bagi laki-laki atau meningkatnya jumlah masjid milik ahli Salafi serta peningkatan jumlah pendakwah Salafi, baik di masjid-masjid mahupun di saluran TV.


Salafisme kini mempengaruhi segmen besar di Mesir, namun mereka tetap menjarakkan diri dari kegiatan politik tradisional. Meskipun begitu, mereka berpegang secara teorinya kepada «Islam Agama dan Negara». Menurut mereka, rejim pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Tuhan adalah «rejim kafir».

Beberapa individu dan kumpulan kecil yang tidak berpengaruh telah muncul sepanjang lima tahun bebelakangan di kalangan kaum muda yang berkecenderungan Salafi. Mereka mendekati banyak pemikiran Salafi jihad yang disebarkan oleh al-Qaeda dan rakan kongsinya di kalangan kebanyakan masyarakat Muslim dan komuniti Muslim di Barat. Kecenderungan mereka kepada pengaruh baru itu tidak bermaksud mereka meninggalkan amalan-amalan umum Salafisme.


Kelompok-kelompok kecil ini boleh dibedakan mengikut beberapa ciri utama. Pertama: sumber utama idea-idea baru mereka diperolehi melalui internet, sekarang ini termasuk bekalan senjata besar berupa buku Salafi jihadi. Kedua: tidak seorang pun daripada mereka telah beralih daripada keyakinan intelektual mereka kepada kegiatan jihad Salafi itu disebabkan oleh samada kekurangan pengalaman ataupun dasar keselamatan yang ketat.


Akhirnya ialah cabang fenomena keempat iaitu gerakan-gerakan Islam yang paling terkenal. Mereka bersatu dalam mengiktiraf Islam serta aspek-aspek dan pentafsirannya sebagai landasan kepada kewujudan dan penentuan matlamat mereka. Mereka bergiat menggunakan pelbagai cara bagi menegakkan Islam seperti yang mereka fahamkan dalam masyarakat, negara dan lokaliti mereka. Kumpulan-kumpulan ini mungkin berlainan pandangan dalam cabang-cabang kefahaman dalam aspek intelektual, politik dan peraturan sosial Islam serta prinsip-prinsipnya. Begitu juga mereka mungkin berbeza pendapat dalam mentafsirkan sebahagian peraturan dan asas. Namun, mereka terus tekun dan beriltizam serta yakin dengan Islam sebagai landasan mereka dan mereka sentiasa mencari jalan yang berbeda bagi menegakkannya.


Terdapat banyak gerakan Islam di Mesir, tetapi majoriti terbesar sekarang ini terdiri dari kategori kumpulan sosio-politik yang berpegang kepada kaedah dan pendekatan secara aman serta menolak keganasan dalam gerakan sosial dan politik mereka. Kategori kumpulan yang dimaksudkan diketuai dipelopori oleh Ikhwan Muslimun.

Beberapa abad terdahulu, Mesir menyaksikan sebilangan kumpulan Islam militan dan ganas, yang bergantung kepada senjata sebagai satu-satunya cara bagi menegakkan fahaman mereka terhadap tuntutan politik Islam. Kesemuanya bergantung kepada pemikiran dan tanggapan masing-masing. Mereka kini menjadi semakin hampir pada dasar Ikhwan Muslimun iaitu pendekatan secara aman dalam menangani arus perubahan agama dan politik.


Sebenarnya, mereka tidaklah mewakili kumpulan yang besar dalam masyarakat meskipun diberikan liputan politik dan media yang luas sewaktu membincangkan fenomena gerakan Islam di Mesir. Malah, bilangan ahli bersekutu mereka tidak melebihi daripada beberapa ratus ribu.

 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template